PEMIKIR MUDA

Melihat dan Menilai sesuatu dengan pandangan mata hati...

Monday, June 10, 2013

Hikmah Di Sebaliknya..



            Pemuda itu terus berdoa agar dirinya selamat daripada bencana yang menimpa dirinya.  Sedikit pun dia tidak menduga bahawa musibah ini akan berlaku terhadap dirinya sepanjang bergelar kelasi kapal.  Pemuda tersebut sempat juga menoleh dan menjerit memanggil nama rakan-rakannya yang lain, namun ombak pada ketika itu begitu deras, ditambah pula dengan angin ribut yang bertiup kencang.  Dia terus dan tidak putus-putus berdoa agar nyawanya selamat dan terlepas daripada kemalangan itu.  Kapal yang dinaikinya bersama dengan 15 anak kapal yang lain tiba-tiba sahaja terlibat dengan kemalangan menyebabkan kapal tersebut karam.  Pemuda tersebut akhirnya berjaya berpaut dengan sebatang kayu yang besar.  Badannya terlalu lemah sehingga dia sendiri tidak menyedari dia dihanyutkan ke sebuah pulau yang tidak berpenghuni.  Pada keesokan harinya beliau terjaga dan berasa buntu, tidak tahu apa yang perlu dilakukan, siapa yang perlu dicari kerana semua alat telah musnah dan hanyut dibawa air.  Hati kecilnya merintih mahu pulang ke kampung halamannya.  Hati kecilnya menangis minta dirinya diselamatkan dengan segera.  Tiada siapa yang terus mahu tinggal seorang diri di tempat sedemikian.  “ Allah Maha Pemurah, lagi maha Penyayang..”  hati kecilnya berkata.  Lantas beliau menadah tangan lalu berdoa dengan sepenuh hati.  Dia memohon agar diampun segala dosanya dan diberi petunjuk untuk mendapatkan bantuan. 
            Sehari telah berlalu, bantuan yang diharapkan tidak lagi muncul.  Pemuda itu telah menggunakan ranting kayu dan daun-daun sekeliling pulau untuk berteduh.  Cukuplah sekadar dapat berteduh daripada hujan dan panas terik.  Unggun api juga dinyalakan.  Dia tidak berputus asa untuk berdoa dan melakukan solat hajat kepada Allah.  Setelah tiga hari berada di pulau tersebut, dia tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi.  Bantuan tetap tidak tiba.  Dengan tidak semena-mena, tempat yang didirikan tiba-tiba rebah ke bumi dan terkena unggun api yang masih bernyala.  Api segera merebak dan tempat perlindungannya terbakar.  Beliau tidak sempat untuk melakukan apa-apa kerana khusyuk memikirkan perkara yang menimpa terhadap dirinya.  Melihat kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu, beliau tidak dapat menahan sebak, lalu menangis.  Dirinya tidak mampu bersabar lagi, lantas berdiri sambil memandang ke langit. 
“ Apa lagi ujian yang Engkau mahu berikan lagi terhadap kambaMu ini! Aku dah hanyut, terdampar, kehilangan rakan-rakan, sekarang aku dah tiada tempat berlindung! Tidak cukup lagikah Ya Allah!  Sudah puas aku berdoa dan meminta kepada Engkau!”  Pemuda itu meraung sambil menitiskan air mata.  Dia gagal untuk mengawal emosinya sama sekali sehingga Yang Maha esa dipersalahkan. 
Tidak lama kemudian, kelihatan daripada jauh sebuah bot menghampiri pulau tersebut.  Setelah diamati, rupanya bot penyelamat untuk mendapatkan beliau.  Beliau terus berlari dan melambai-lambai ke arah mereka.  Hatinya begitu gembira kerana akhirnya beliau dapat selamat dan bebas. 
“ Saya gembira melihat encik datang..sudah lama saya menanti..”
“ Sebenarnya, sudah lama kami cuba menjejaki tuan tetapi kami gagal kerana tidak menemui sebarang kesan. “
Pemuda tersebut terus bertanya “ Jadi, bagaimana encik dapat mengetahui bahawa saya berada di sini?”
“ Kami ternampak asap yang tebal secara tiba-tiba datangnya dari arah sini, maka kami pun segera pergi menyiasat, ternyata kami kemudian mendapati tuan berada di sini.”
Pemuda tersebut terus kelu, tidak mampu berkata apa-apa.  Dia diselubungi rasa berdosa yang teramat.  Kejadian yang disangka mendatangkan keburukan kepada dirinya rupanya telah menjadi tanda untuk menyelamatkan dirinya.  Tidak sedikit pun dia terlintas selama ini untuk melakukan perkara sedemikian rupa melainkan hanya menyalakan unggun api sekadar untuk memanaskan diri. Pemuda itu mendongak ke langit dan menitiskan air mata, namun kali ini tanda keredhaan dan menginsafi diri di atas keterlanjuran kata sebentar tadi.
Ya, kesabaran manusia memang ada batasnya.  Kadangkala kita berasa tidak tahan dan menganggap mustahil untuk kita hadapai dan menempuhi sesuatu ujian yang menimpa ke atas diri kita.  Pepatah mengatakan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.  Ujian yang datang terlalu banyak sehingga kita berasa seolah-olah tiada kesudahannya. 
Perkataan sabar memang mudah untuk diungkapkan, tetapi amat sukar untuk dilaksanakan.  Orang lain mampu untuk menasihati, namun kadangkala orang tersebut juga tidak dapat bersabar.  Di sinilah sebenarnya kemuncak kepada keyakinan kita terhadap janji-janji Allah, sifat allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.  Allah Maha Berkuasa, Dia mampu untuk memberi kesenangan kepada hambaNya walau sesaat tanpa ada kuasa yang dapat menghalan dan begitulah sebaliknya.  Dalam kisah pemuda tersebut, Allah sentiasa mendengar rintihannya, permohonannya, namun adakah dengan bantuan serta petunjuk diberi labat bererti diri peuda tersebut tidak dikasihiNya?
Jangan pernah kita lupa bahawa Allah sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hambaNya dan tidak pernah jemu untuk menurunkan rahmat.  Menjadi fitrah manusia, kita berkehendakkan sesuatu perkara berlaku dengan lancar, berlaku dengan cepat, berlaku tanpa banyak halangan, tetapi kita juga perlu untuk menyedari bahawa dengan ujian, itulah tandanya kita adalah hamba dan Allah mahu hambaNya tidak putus merintih dan berdoa kepadaNya setiap masa. 
Walaupun doa kita tidak dimakbulkan pada sesaat kemudiannya, atau sejam kemudiannya, atau sehari kemudiannya, jangan pernah berhenti untuk mengadu.  Sesuatu perkara mungkin kelihatan buruk pada kita, tetapi siapa tahu bahawa di sebalik keburukan tersebut, kesusahan yang menimpa kita, menjadikan kita lebih kuat dan dekat kepadaNya, kerana hanya Allah tempat untuk kita meminta dan berlindung. 
Firman Allah s.w.t :
Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.  Dan ( pada hari itu ) didekatkan syurga bagi orang-orang yang bertaqwa.  Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang yang sesat.”
( Surah al-Syu’ara 88-91 )