PEMIKIR MUDA

Melihat dan Menilai sesuatu dengan pandangan mata hati...

Thursday, April 11, 2013

Pemimpin dan amanah




Pemimpin dan Amanah

            Manusia diciptakan di muka bumi  adalah untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t.  Manusia merupakan makhluk paling sempurna yang diciptakan oleh Allah s.w.t lengkap dengan kurniaan akal untuk memmbolehkan manusia berfikir, memisahkan antara haq dan batil.  Oleh yang demikian, manusia juga diciptakan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.  Dalam erti kata yang mudah manusia diciptakan untuk menjadi pemimpin  dan mentadbir serta menguruskan bumi Allah s.w.t dengan sebaik mungkin.   
            Pemimpin tidak hanya merujuk kepada ketua sesebuah kerajaan atau pengurus sebuah organisasi semata-mata.  Bahkan, setiap daripada kita sebenarnya adalah pemimpin, setidak-tidaknya adalah pemimpin bagi keluarga mahupun diri sendiri.  Allah s.w.t telah menggariskan panduan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.  Rasulullah S.A.W merupakan ikon pemimpin unggul yang wajar dicontohi kerana segala-galanya ada pada diri baginda.  Selain menyampaikan wahyu sebagai seorang rasul, Baginda juga pada masa yang sama memikul amanah sebagai seorang ketua keluarga, ketua negara, seorang imam dan ketua dalam peperangan.  Namun, kita lihat bagaimana baginda menjalankan setiap tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil.  Mungkin dalam kalangan kita pada hari ini akan menjadikan sesuatu tanggungjawab misalnya jawatan tertentu dalam organisasi sebagai alasan kukuh untuk kita mengabaikan sesuatu tanggungjawab yang lain.  Berbeza dengan baginda nabi yang sentiasa bersikap manah dalam setiap tanggungjawab yang dipikul.  baginda tetap meluangkan masa bersama keluarga walalupun sedang memikul amanah sebagai seorang ketua negara Madinah pada ketika itu.  Mungkin ada yang mengatakan mustahil untuk kita mencontohi baginda kerana baginda memang sudah bersifat ma’sum ( terpelihara daripada dosa ). Pemikiran dan pandangan sebegini adalah pemikiran yang sangat salah sama sekali.  Jika tidak baginda rasulullah, siapa lagi ikon yang wajar untuk kita jadikan sebagai panduan? Fikirkan bersama untuk muhasabah diri....Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :
Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan balasan Allah dan kedatangan hari kiamat, dan mereka mengingati allah dengan sebanyak-banyaknya.”
( Surah Al-Ahzab : ayat 21 )


Ada yang berasa gembira dan bangga apabila dirinya dipilih untuk menjadi seorang pemimpin pada hari ini tanpa menyedari bahawa dirinya akan memikul satu manah yang amat berat yang akan disoal oleh Allah s.w.t di akhirat kelak kerana setiap pemimpin bertanggungjawab di atas setiap yang dipimpinnya.  Setiap individu yang ingin menjadi pemimpin pada hari ini perlu bermuhasabah dan berfikir sejenak, apakah niat sebenar aku hendak memikul amanah ini? Mampukah aku berlaku adil? Mampukah aku bersifst amanah? Adakah aku tetap bertaqwa dan bersifat zuhud walaupun aku memikul amanah yang berat ini?  Amat malang bagi mereka yang bercita-cita mahu memikul amanah sedangkan mempunyai niat yang lain, iaitu ingin disanjungi, dihormati, mendapat populariti, dan ingin mengejar kekayaan.  Oleh yang demikian, Islam telah mempertanggungjawabkan kepada umatnya untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dan mampu untuk memikul amanah yang besar ini bagi mengelakkan berlaku kemudaratan di atas muka bumi Allah ini. 
Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :
 Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.”
 (Surah an-Nisa : ayat 58)
   
Ingatlah, apabila kita dilantik menjadi seorang pemimpin, ia bukan sebagai satu tiket untuk kita bermegah atau lambang kemuliaan diri, sebaliknya merupakan satu bebanan berat yang pasti akan disoal di hadapan Allah kelak.  Apabila menggalas tugas sebagai seorang pemimpin, ibarat sebelah kaki ke syurga dan sebelah kaki berada di neraka.  Begitu juga dalam konteks pernikahan, seorang suami apabila melafazkan “aku terima nikahnya” di hadapan kadi, sebenarnya telah serta merta memikul amanah untuk membimbing isteri dan menguruskan rumah tangga mengikut syariat islam. 
Khalifah Umar bin Abd Aziz antara pemimpin zuhud yang juga wajar untuk kita contohi.  Dalam satu riwayat oleh Humaidi katanya : “Setelah Umar bin Abdul Aziz ditabal menjadi khalifah, beliau pun menagis seraya berkata: “ Wahai Qilabah! Adakah kamu tidak berasa bimbang terhadap diriku?”
Qilabah bertanya kepada baginda : “ Apakah perasaan cinta dan keinginan tuan terhadap wang?”
baginda menjawab :” Aku langsung tidak menyukainya”
Lalu Qilabah menjawab : “Oleh itu, tuan tidak perlu berasa bimbang dan takut, sesungguhnya Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada tuan.”
Tangisan Umar menggambarkan kepada kita bahawa betapa beratnya amanah yang akan dipikul kelak kerana baginda sedar jika baginda tidak amanah, pasti rakyat jelata akan mendakwa dirinya di akhirat kelak.  Beliau juga menitiskan air mata kerana bimbang memikirkan sekiranya tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik. 
Sikap seperti ini wajar dicontohi dan direnungi oleh setiap daripada kita pada hari ini.  Mungkin kita tidak memimpin sebuah negara, namun mungkin kita diuji untuk memimpin sebuah organisasi, dan memimpin keluarga kelak serta diri sendiri ke arah jalan yang diredhai oleh Allah.  Ingatlah bahawa amanah yang diberi bukan bertujuan untuk mencari kepentingan diri sendiri, sebaliknya ia satu ujian kepada kita yang sebenarnya adalah untuk memastikan kita sentiasa bertaqwa dan bersyukur kepadaNya, di samping sebagai makhluk ciptaan Allah, kita seharusnya menggunakan akal yang ada berpandukan Al-Quran dan Sunnah untuk mentadbir, mengurus dan memanfaatkan bumi Allah ini untuk kesejahteraan semua.  Jawatan yang diberi adalah bersifat pinjaman semata-mata, tidak akan kekal sehingga ke liang lahad.   Namun, jika tidak menjalankan amanah dengan baik, kita perlu berasa takut dan malu untuk menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak di atas kegagalan kita.    
Pada masa yang sama, kita bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang mampu untuk menjalankan amanah tersebut dengan baik.  Jika tidak, kita juga akan dipersoalkan kelak olehNya kerana tidak menjalankan amanah memilih pemimpin yang adil dan bertaqwa.  Setiap daripada kita mempunyai amanah masing-masing, terimalah amanah tersebut dengan anggapan bahawa ini merupakan tugas berat untuk aku dalam kehidupan ini, maka wajib atas aku untuk menjalankan amanah ini dengan sebaiknya.  Perkara yang paling penting juga niat melakukan sesuatu adalah kerana ingin mendapat keredhaanNya.  Jika diri terpilih untuk memegang amanah, dekatkan diri kepadaNya sentiasa untuk memohon agar dipermudahkan dan diberi petunjuk serta hidayah oleh Allah.  Sesungguhnya, Allah jua yang Maha Mengetahui dan Maha Pengampun..       
AYUH! KITA RENUNGKAN BERSAMA.... 
            

Thursday, April 4, 2013

BERISTIGHFARLAH..


Beristighfarlah

Setiap insan yang bernyawa pasti akan menerima ujian dalam kehidupan mereka seharian.  Tiada seorang pun yang terlepas daripada dugaan Allah s.w.t.  Pelbagai respons akan kedengaran daripada setiap insan bergantung kepada tahap keimanan serta cara kita memandang ujian tersebut.  Ada yang bersyukur,ada yang merungut, ada yang bermuhasabah, dan ada juga yang mahu melarikan diri daripada masalah.  Hakikatnya, setiap ujian yang diberi oleh Allah s.w.t bukan bertujuan untuk menyeksa atau membebankan kehidupan manusia, sebaliknya melalui ujianlah manusia seharusnya lebih dekat dan mengingati penciptanya.  Setiap ujian itu sebenarnya mampu untuk diharungi oleh setiap hambaNya.  Allah tidak pernah zalim terhadap hamba-hambaNya.   
“Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”
Imam Al-Ghazali dalam kitab Mukasyafah al-Qulub
Fitrah manusia, tiada siapa yang mahu musiah melanda diri mereka.  Namun, di sebalik semua ujian yang melanda, pernah atau pun tidak kita bertanya kepada diri kita, berapa banyak kenikmatan telah kita rasai dalam kehidupan kita?  Berapa kerap kita bersyukur tatkala waktu senang kita berbanding waktu susah?  Berapa kerap kita bermuhasabah diri sewaktu Allah memberi petunjuk kepada diri kita dan mengangkat musibah yang melanda diri kita?  Sayangnya, ramai manusia yang hanya mengingati Allah tatkala diri mereka dalam kesempitan, kesusahan dan tiada arah tuju.  Kadangkala kita hanya memilih untuk memanjatkan doa setelah semua usaha telah menemui jalan buntu.  Hal ini merupakan amalan yang silap.  Kita seharusnya memanjatkan doa dan beristighfar sejak peringkat permulaan kita mendapat musibah sebagai memohon petunjuk daripadaNya.  Sekiranya kita menggunakan senjata doa sebagai alternatif yang terakhir sekali, maka kita seolah-olah meletakkan pergantungan kita kepada Allah sebagai alternatif yang terakhir sekali.  Jika hajat dan kemahuan kita tidak dicapai mahupun diselesaikan, kita akan merungut dan kecewa. 



Tuhan sentiasa mendengar setiap permintaan dan doa hamba-hambaNya.  Allah itu Maha Kaya dan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Jika tidak hari ini, mungkin doa kita akan disimpan untuk kemudian hari.  Bukan bermaksud permintaan kita dilupakan.  Dengan ujian jualah Allah sebenarnya merindui untuk mendengar rintihan setiap hambaNya.  Justeru, apabila kita dilanda musibah, kita seharusnya memperbanyakkan istighfar dan bersyukur kerana kita antara insan yang dipilih olehNya supaya kita sentiasa ingat dan lebih mendekatkan diri kepadaNya.  Hindari daripada hanya mengingati Allah di kala kita sedih, sukar dan tiada tempat untuk mengadu semata-mata, sebaliknya ingatlah Allah dalam waktu kita lapang dan dalam apa jua perkara yang kita lakukan seharian termasuklah sebelum kita mahu menutup mata di malam hari dan waktu ingin membuka kembali mata di pagi hari. 

Ramai daripada kita juga hari ini akan melakukan solat hajat untuk memanjatkan doa untuk mencapai sesuatu, memohon petunjuk atau memohon supaya Allah meringankan sesuatu dugaan yang melanda.  Contoh yang paling mudah ialah apabila negara kita ditimpa ujian kemarau yang panjang.  Amalan ini adalah amalan yang dituntut, namun, kita terlupa satu perkara iaitu untuk beristghfar kepada Allah.  Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa penghalang diri kita daripada mendapat RAHMAT Allah s.w.t ialah dosa dan kesalahan yang ada pada diri.  Selagi mana kita bernama manusia, tiada ada seorang pun yang kana terlepas daripada sebarang dosa.  Hanya para anbia’ yang bersifat maksum dan tidak melakukan dosa.  Jika tidak dosa yang zahir, mungkin jua dosa hati, jiwa dan nurani.  dalam erti kata mudah, DOSA merupakan penghalang kepada DOA dan CAHAYA daripada llahi.  


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau ( wahai Muhammad ) ada antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristghfar.”
( Surah Al-Anfal : 33 )
Ketika umat Nabi Nuh diturunkan ujian oleh Allah s.w.t, Baginda pernah menasihati umatnya dengan berkata :
“Pohonlah ampun kepada TUHAN kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun ( sekiranya kamu berbuat demikian ) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah ( hujan) kepada kamu.  Dan Dia akan memberi kamu banyaknya harta keyaan serta anak-pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.”
( Surah Nuh : 9-12 )
Hal ini jelas menunjukkan janji Allah sekiranya kita beristghfar dengan seikhlas hati, dengan bersungguh-sungguh dan dengan jiwa yang tawadu’, nescaya Allah akan melapangkan diri kita daripada segala kesempitan.  Nescaya Allah akan menurunkan dan melimpahkan rahmat yang tidak ternilai.  tanah yang tandus akan kembali subur dalam sekelip mata. 
Di samping kita berdoa, beristighfarlah, mohon ampun kepada Allah di atas dosa yang kita lakukan setiap hari.  Manusia melakukan dosa adalah perkara yang biasa, namun adalah luar biasa sekiranya manusia yang kerdil ini tidak mahu kembali ke pangkal jalan dan beristighfar.  Yakinlah dengan setiap janji Allah. Perkara yang paling penting sekali ialah tidak buruk sangka kepada Allah apabila dilanda ujian.  Cari hikmah di setiap ujian yang menimpa dan memandang ujian dari sudut yang positif.  Jika kita hanya memandang ujian dari sudut yang negatif, nescaya kita sebenarnya tidak yakin dengan janji Allah dan berprasangka kepada Maha Pencipta kita yang sentiasa mahu diri hamba-hambaNya mengingati Allah dalam setiap perbuatan yang dilakukan. 
BERISTIGHFARLAH..... KEMBALI KEPADA ALLAH..ALLAH AKAN MELAPANGKAN DAN MENGELUARKAN KAMU DARI KESUSAHANMU, KESEMPITANMU, DAN KEDUKAANMU...