PEMIKIR MUDA

Melihat dan Menilai sesuatu dengan pandangan mata hati...

Thursday, April 11, 2013

Pemimpin dan amanah




Pemimpin dan Amanah

            Manusia diciptakan di muka bumi  adalah untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t.  Manusia merupakan makhluk paling sempurna yang diciptakan oleh Allah s.w.t lengkap dengan kurniaan akal untuk memmbolehkan manusia berfikir, memisahkan antara haq dan batil.  Oleh yang demikian, manusia juga diciptakan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.  Dalam erti kata yang mudah manusia diciptakan untuk menjadi pemimpin  dan mentadbir serta menguruskan bumi Allah s.w.t dengan sebaik mungkin.   
            Pemimpin tidak hanya merujuk kepada ketua sesebuah kerajaan atau pengurus sebuah organisasi semata-mata.  Bahkan, setiap daripada kita sebenarnya adalah pemimpin, setidak-tidaknya adalah pemimpin bagi keluarga mahupun diri sendiri.  Allah s.w.t telah menggariskan panduan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.  Rasulullah S.A.W merupakan ikon pemimpin unggul yang wajar dicontohi kerana segala-galanya ada pada diri baginda.  Selain menyampaikan wahyu sebagai seorang rasul, Baginda juga pada masa yang sama memikul amanah sebagai seorang ketua keluarga, ketua negara, seorang imam dan ketua dalam peperangan.  Namun, kita lihat bagaimana baginda menjalankan setiap tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil.  Mungkin dalam kalangan kita pada hari ini akan menjadikan sesuatu tanggungjawab misalnya jawatan tertentu dalam organisasi sebagai alasan kukuh untuk kita mengabaikan sesuatu tanggungjawab yang lain.  Berbeza dengan baginda nabi yang sentiasa bersikap manah dalam setiap tanggungjawab yang dipikul.  baginda tetap meluangkan masa bersama keluarga walalupun sedang memikul amanah sebagai seorang ketua negara Madinah pada ketika itu.  Mungkin ada yang mengatakan mustahil untuk kita mencontohi baginda kerana baginda memang sudah bersifat ma’sum ( terpelihara daripada dosa ). Pemikiran dan pandangan sebegini adalah pemikiran yang sangat salah sama sekali.  Jika tidak baginda rasulullah, siapa lagi ikon yang wajar untuk kita jadikan sebagai panduan? Fikirkan bersama untuk muhasabah diri....Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :
Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan balasan Allah dan kedatangan hari kiamat, dan mereka mengingati allah dengan sebanyak-banyaknya.”
( Surah Al-Ahzab : ayat 21 )


Ada yang berasa gembira dan bangga apabila dirinya dipilih untuk menjadi seorang pemimpin pada hari ini tanpa menyedari bahawa dirinya akan memikul satu manah yang amat berat yang akan disoal oleh Allah s.w.t di akhirat kelak kerana setiap pemimpin bertanggungjawab di atas setiap yang dipimpinnya.  Setiap individu yang ingin menjadi pemimpin pada hari ini perlu bermuhasabah dan berfikir sejenak, apakah niat sebenar aku hendak memikul amanah ini? Mampukah aku berlaku adil? Mampukah aku bersifst amanah? Adakah aku tetap bertaqwa dan bersifat zuhud walaupun aku memikul amanah yang berat ini?  Amat malang bagi mereka yang bercita-cita mahu memikul amanah sedangkan mempunyai niat yang lain, iaitu ingin disanjungi, dihormati, mendapat populariti, dan ingin mengejar kekayaan.  Oleh yang demikian, Islam telah mempertanggungjawabkan kepada umatnya untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dan mampu untuk memikul amanah yang besar ini bagi mengelakkan berlaku kemudaratan di atas muka bumi Allah ini. 
Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :
 Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.”
 (Surah an-Nisa : ayat 58)
   
Ingatlah, apabila kita dilantik menjadi seorang pemimpin, ia bukan sebagai satu tiket untuk kita bermegah atau lambang kemuliaan diri, sebaliknya merupakan satu bebanan berat yang pasti akan disoal di hadapan Allah kelak.  Apabila menggalas tugas sebagai seorang pemimpin, ibarat sebelah kaki ke syurga dan sebelah kaki berada di neraka.  Begitu juga dalam konteks pernikahan, seorang suami apabila melafazkan “aku terima nikahnya” di hadapan kadi, sebenarnya telah serta merta memikul amanah untuk membimbing isteri dan menguruskan rumah tangga mengikut syariat islam. 
Khalifah Umar bin Abd Aziz antara pemimpin zuhud yang juga wajar untuk kita contohi.  Dalam satu riwayat oleh Humaidi katanya : “Setelah Umar bin Abdul Aziz ditabal menjadi khalifah, beliau pun menagis seraya berkata: “ Wahai Qilabah! Adakah kamu tidak berasa bimbang terhadap diriku?”
Qilabah bertanya kepada baginda : “ Apakah perasaan cinta dan keinginan tuan terhadap wang?”
baginda menjawab :” Aku langsung tidak menyukainya”
Lalu Qilabah menjawab : “Oleh itu, tuan tidak perlu berasa bimbang dan takut, sesungguhnya Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada tuan.”
Tangisan Umar menggambarkan kepada kita bahawa betapa beratnya amanah yang akan dipikul kelak kerana baginda sedar jika baginda tidak amanah, pasti rakyat jelata akan mendakwa dirinya di akhirat kelak.  Beliau juga menitiskan air mata kerana bimbang memikirkan sekiranya tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik. 
Sikap seperti ini wajar dicontohi dan direnungi oleh setiap daripada kita pada hari ini.  Mungkin kita tidak memimpin sebuah negara, namun mungkin kita diuji untuk memimpin sebuah organisasi, dan memimpin keluarga kelak serta diri sendiri ke arah jalan yang diredhai oleh Allah.  Ingatlah bahawa amanah yang diberi bukan bertujuan untuk mencari kepentingan diri sendiri, sebaliknya ia satu ujian kepada kita yang sebenarnya adalah untuk memastikan kita sentiasa bertaqwa dan bersyukur kepadaNya, di samping sebagai makhluk ciptaan Allah, kita seharusnya menggunakan akal yang ada berpandukan Al-Quran dan Sunnah untuk mentadbir, mengurus dan memanfaatkan bumi Allah ini untuk kesejahteraan semua.  Jawatan yang diberi adalah bersifat pinjaman semata-mata, tidak akan kekal sehingga ke liang lahad.   Namun, jika tidak menjalankan amanah dengan baik, kita perlu berasa takut dan malu untuk menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak di atas kegagalan kita.    
Pada masa yang sama, kita bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang mampu untuk menjalankan amanah tersebut dengan baik.  Jika tidak, kita juga akan dipersoalkan kelak olehNya kerana tidak menjalankan amanah memilih pemimpin yang adil dan bertaqwa.  Setiap daripada kita mempunyai amanah masing-masing, terimalah amanah tersebut dengan anggapan bahawa ini merupakan tugas berat untuk aku dalam kehidupan ini, maka wajib atas aku untuk menjalankan amanah ini dengan sebaiknya.  Perkara yang paling penting juga niat melakukan sesuatu adalah kerana ingin mendapat keredhaanNya.  Jika diri terpilih untuk memegang amanah, dekatkan diri kepadaNya sentiasa untuk memohon agar dipermudahkan dan diberi petunjuk serta hidayah oleh Allah.  Sesungguhnya, Allah jua yang Maha Mengetahui dan Maha Pengampun..       
AYUH! KITA RENUNGKAN BERSAMA.... 
            

No comments:

Post a Comment