Beristighfarlah
Setiap insan yang bernyawa
pasti akan menerima ujian dalam kehidupan mereka seharian. Tiada seorang pun yang terlepas daripada
dugaan Allah s.w.t. Pelbagai respons
akan kedengaran daripada setiap insan bergantung kepada tahap keimanan serta
cara kita memandang ujian tersebut. Ada
yang bersyukur,ada yang merungut, ada yang bermuhasabah, dan ada juga yang mahu
melarikan diri daripada masalah.
Hakikatnya, setiap ujian yang diberi oleh Allah s.w.t bukan bertujuan
untuk menyeksa atau membebankan kehidupan manusia, sebaliknya melalui ujianlah
manusia seharusnya lebih dekat dan mengingati penciptanya. Setiap ujian itu sebenarnya mampu untuk
diharungi oleh setiap hambaNya. Allah
tidak pernah zalim terhadap hamba-hambaNya.
“Sesungguhnya
bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki
orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat
manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”
Imam
Al-Ghazali dalam kitab Mukasyafah al-Qulub
Fitrah manusia, tiada siapa
yang mahu musiah melanda diri mereka.
Namun, di sebalik semua ujian yang melanda, pernah atau pun tidak kita
bertanya kepada diri kita, berapa banyak kenikmatan telah kita rasai dalam kehidupan
kita? Berapa kerap kita bersyukur
tatkala waktu senang kita berbanding waktu susah? Berapa kerap kita bermuhasabah diri sewaktu
Allah memberi petunjuk kepada diri kita dan mengangkat musibah yang melanda
diri kita? Sayangnya, ramai manusia yang
hanya mengingati Allah tatkala diri mereka dalam kesempitan, kesusahan dan
tiada arah tuju. Kadangkala kita hanya
memilih untuk memanjatkan doa setelah semua usaha telah menemui jalan
buntu. Hal ini merupakan amalan yang
silap. Kita seharusnya memanjatkan doa
dan beristighfar sejak peringkat permulaan kita mendapat musibah sebagai
memohon petunjuk daripadaNya. Sekiranya
kita menggunakan senjata doa sebagai alternatif yang terakhir sekali, maka kita
seolah-olah meletakkan pergantungan kita kepada Allah sebagai alternatif yang
terakhir sekali. Jika hajat dan kemahuan
kita tidak dicapai mahupun diselesaikan, kita akan merungut dan kecewa.
Tuhan sentiasa mendengar
setiap permintaan dan doa hamba-hambaNya.
Allah itu Maha Kaya dan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Jika tidak hari ini, mungkin doa kita akan
disimpan untuk kemudian hari. Bukan
bermaksud permintaan kita dilupakan.
Dengan ujian jualah Allah sebenarnya merindui untuk mendengar rintihan
setiap hambaNya. Justeru, apabila kita
dilanda musibah, kita seharusnya memperbanyakkan istighfar dan bersyukur kerana
kita antara insan yang dipilih olehNya supaya kita sentiasa ingat dan lebih
mendekatkan diri kepadaNya. Hindari
daripada hanya mengingati Allah di kala kita sedih, sukar dan tiada tempat
untuk mengadu semata-mata, sebaliknya ingatlah Allah dalam waktu kita lapang
dan dalam apa jua perkara yang kita lakukan seharian termasuklah sebelum kita
mahu menutup mata di malam hari dan waktu ingin membuka kembali mata di pagi
hari.
Ramai daripada kita juga
hari ini akan melakukan solat hajat untuk memanjatkan doa untuk mencapai
sesuatu, memohon petunjuk atau memohon supaya Allah meringankan sesuatu dugaan
yang melanda. Contoh yang paling mudah
ialah apabila negara kita ditimpa ujian kemarau yang panjang. Amalan ini adalah amalan yang dituntut,
namun, kita terlupa satu perkara iaitu untuk beristghfar kepada Allah. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa
penghalang diri kita daripada mendapat RAHMAT Allah s.w.t ialah dosa dan
kesalahan yang ada pada diri. Selagi mana
kita bernama manusia, tiada ada seorang pun yang kana terlepas daripada
sebarang dosa. Hanya para anbia’ yang
bersifat maksum dan tidak melakukan dosa.
Jika tidak dosa yang zahir, mungkin jua dosa hati, jiwa dan nurani. dalam erti kata mudah, DOSA merupakan
penghalang kepada DOA dan CAHAYA daripada llahi.

Firman Allah s.w.t yang
bermaksud :
“
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau ( wahai Muhammad
) ada antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka
beristghfar.”
(
Surah Al-Anfal : 33 )
Ketika umat Nabi Nuh
diturunkan ujian oleh Allah s.w.t, Baginda pernah menasihati umatnya dengan
berkata :
“Pohonlah
ampun kepada TUHAN kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun ( sekiranya kamu
berbuat demikian ) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah ( hujan)
kepada kamu. Dan Dia akan memberi kamu
banyaknya harta keyaan serta anak-pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu
kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.”
(
Surah Nuh : 9-12 )
Hal ini jelas menunjukkan
janji Allah sekiranya kita beristghfar dengan seikhlas hati, dengan
bersungguh-sungguh dan dengan jiwa yang tawadu’, nescaya Allah akan melapangkan
diri kita daripada segala kesempitan.
Nescaya Allah akan menurunkan dan melimpahkan rahmat yang tidak ternilai. tanah yang tandus akan kembali subur dalam
sekelip mata.
Di samping kita berdoa,
beristighfarlah, mohon ampun kepada Allah di atas dosa yang kita lakukan setiap
hari. Manusia melakukan dosa adalah
perkara yang biasa, namun adalah luar biasa sekiranya manusia yang kerdil ini
tidak mahu kembali ke pangkal jalan dan beristighfar. Yakinlah dengan setiap janji Allah. Perkara
yang paling penting sekali ialah tidak buruk sangka kepada Allah apabila
dilanda ujian. Cari hikmah di setiap
ujian yang menimpa dan memandang ujian dari sudut yang positif. Jika kita hanya memandang ujian dari sudut
yang negatif, nescaya kita sebenarnya tidak yakin dengan janji Allah dan
berprasangka kepada Maha Pencipta kita yang sentiasa mahu diri hamba-hambaNya
mengingati Allah dalam setiap perbuatan yang dilakukan.
BERISTIGHFARLAH..... KEMBALI
KEPADA ALLAH..ALLAH AKAN MELAPANGKAN DAN MENGELUARKAN KAMU DARI KESUSAHANMU,
KESEMPITANMU, DAN KEDUKAANMU...

No comments:
Post a Comment