PEMIKIR MUDA

Melihat dan Menilai sesuatu dengan pandangan mata hati...

Wednesday, August 21, 2013

Perkahwinan : Adat dan Syariat


Seorang pemuda telah berhasrat untuk menjadikan seorang wanita yang mempunyai ciri-ciri yang disukainya sebagai seorang isteri.  Beliau telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan kedua orang tua wanita tersebut bagi menyatakan hasratnya.  Dipendekkan cerita setelah melakukan perbincangan, kedua ibu bapa wanita tersebut bersetuju dengan hasrat lelaki tersebut.  Selepas itu, berlaku perbualan tersebut :

“ Jika tidak keberatan, berapa hantaran dan bayaran yang saya perlu kemukakan nanti untuk majlis perkahwinan?”
“ Anak kami ni baru je tamat pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama dari luar negara.  Kalau nak ikutkan sekarang ni, paling kurang pun RM15 000, tapi kalau tinggi tidak mengapa la, mungkin dalam RM12 000 pun cukup.  Bukan apa, sekarang ni taraf hidup dah meningkat, barang-barang mahal.  Nak sewa itu lagi, ini lagi” Jawab si bapa.

Dialog di atas mungkin biasa berlaku dan kedengaran pada masa kini.  Apatah lagi dalam budaya dan cara kehidupan masa kini yang jauh berbeza dan berhadapan dengan pelbagai cabaran.  Mari sama-sama hayati dan fahami kisah di bawah :

Pada suatu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian Baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.

Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, maka kahwinkanlah aku dengannya.”

Mas kahwin

Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Nabi SAW bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin.”

Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.”

Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali serta berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).

Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.”

Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil.


Apabila sahabat itu sampai, Nabi SAW bertanya: “Apakah yang engkau miliki daripada al-Quran?”
Sahabat itu menjawab: “Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Nabi SAW bersabda: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah al-Quran yang engkau hafaz.”

Perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang juga penyelesaian terbaik terhadap tuntutan fitrah manusia di samping mengatasi masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin dapat mengatur kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab.

Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan (jodoh) bagi kamu daripada (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Islam menggalakkan umatnya yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin memperbanyakkan puasa sunat sebagai cara mengawal nafsu.

Sabda Nabi SAW: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang/mengawal syahwat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pada dasarnya, hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat.
Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Shafie, golongan pemuda yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun, kebiasaannya mempunyai nafsu yang tinggi, semangat yang kuat, tenaga yang berlebihan dan ingin mencuba pelbagai perkara.

Maka sewajarnya, mereka yang berusia sebegini diberi perhatian agar segera dan dipermudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak perkara yang tidak elok dan seharusnya diingati bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan kepada sesiapa pun.

Namun apa yang berlaku kini kebanyakan masyarakat lebih menitikberatkan tuntutan adat daripada tuntunan syariat.  Tidak berniat untuk merendah rendahkan adat kerana ada nilai yang baik, namun Islam tidak pernah menyusahkan dan membebankan umatnya malah Islam telah memperuntukkan garis panduan yang lengkap untuk lebih memudahkan dalam apa jua urusan, asalkan tidak dibuat sesuka hati.  Apabila terlalu ingin mengikut adat, maka ramai yang terpaksa berhutang sehingga setelah selesai majlis walimah sekalipun perkara tersebut masih tidak selesai.  Lebih malang, terdapat juga kes di mana pasangan telah pun bercerai sebelum hutang dijelaskan. 

 Allah telah memberi jaminan bahawa pintu rezeki akan dibuka seluas luasnya setelah seseorang itu berkahwin.  Dalam kebejatan masalah sosial pada masa kini, masyarakat perlu sedar bahawa berkahwin pada usia muda merupakan antara penawar kepada penyakit barah dalam masyarakat ini sekiranya sudah berkemampuan.  Perasaan stereotaip, prejudis dan terlalu ingin mengikut adat perlu diketepikan.  Jika berkemampuan, tidak salah untuk melalukan perkara-perkara tersebut, namun jika tidak berkemampuan, buatlah sekadar yang termampu dan bukannya lebih membebankan dan memburukkan keadaan.  Tidak salah untuk mengikut adat, namun biarlah dengan kemampuan dan tidak membelakangkan syariat..

   


Sabda Rasulullah saw: "Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." 
(HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi)




No comments:

Post a Comment